Tuesday 13 December 2011

Mangsa Banjir di Pahang kini lebih 800 Orang



KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di tiga daerah di negeri ini meningkat kepada 871 orang setakat jam 8 pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 425 orang membabitkan 105 keluarga, diikuti Rompin 422 orang daripada 99 keluarga dan Pekan 24 orang membabitkan sembilan keluarga.


"Sebanyak tujuh pusat pemindahan dibuka di Kuantan iaitu Dewan Orang Ramai (DOR) Indera Mahkota Jaya yang menempatkan seramai 20 orang, DOR Cenderawasih (59 orang), SMK Paya Besar (80 orang), DOR Seri Damai (32), SMK Gudang Rasau (20), SK Fakih Abu Samad (192) dan Pusat Bina Insan Jaya Gading (22).
"Di Rompin empat pusat pemindahan dibuka iaitu di Masjid Perepat (40 orang), SK Kg Janglau (161), DOR Teluk Gading (203), Balai raya Kg Sepayang (18) manakala daerah Pekan satu pusat pemindaan dibuka di Balai raya Rumbia yang menempatkan seramai 24 orang," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga meminta penduduk Pahang berjaga-jaga kerana hujan masih berterusan dan paras sungai utama iaitu Sungai Pahang dan Sungai Kuantan masih di paras berjaga-jaga. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...