Tuesday 13 December 2011

Kenali Dunia Teknologi


Oleh Mohd Sah Muda
rencana@hmetro.com.my


SERAMAI 100 pelajar SMK Kota Masai Johor Bahru, Johor berpeluang menyertai program Kolaborasi Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Premier Johor Bahru, baru-baru ini, sekali gus menimba pengalaman baru belajar perisian ‘Autocad’.

Disertai pelajar tingkatan lima, program itu turut menyasarkan objektif untuk menjalin hubungan antara dua institusi.
Pada masa sama memberikan peluang pelajar menimba ilmu dan pengalaman baru selaras perkembangan terkini dunia teknologi.


Jawatankuasa pengelola program, Siti Rahaida Abdullah berkata, sepanjang program, pelajar mendapat panduan dan sesi penerangan daripada pensyarah yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Program ini bukan saja menjadi landasan pelajar saling mengenali dan membantu antara satu sama lain, malah bertujuan merealisasikan tanggungjawab sosial kepada generasi muda.

“Mereka boleh mendapat gambaran sebenar mengenai perkembangan dunia teknologi dengan sistem pembelajaran dilakukan secara praktikal dan secara tidak langsung menarik minat untuk menceburinya kelak.

“Malah, membantu mereka lebih berkeyakinan dan mudah memahami sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak,” katanya.

Pelajar yang terpilih juga menyifatkan program itu bermanfaat selain dapat menambahkan pengetahuan.

Muhammad Tajuddin Jom berkata, dia teruja menyertai program berkenaan kerana dapat meningkatkan lagi kefahaman sedia ada dengan mudah.

“Sebelum ini, saya rasa sukar belajar kerana kurang memahami namun dengan tunjuk ajar, semakin mudah dan seronok. Saya berharap mampu mencapai kejayaan dalam peperiksaan, sekali gus meningkatkan lagi pencapaian,” katanya.

Rakannya, Nurul Farahin Suhaimi berkata, program berkenaan sebagai batu loncatan untuk memilih bidang berkenaan selain bercita - cita mahu melanjutkan pengajian di politeknik.

“Program ini sangat berguna dan membuka mata saya mengenai prospek masa depan yang mampu ditawarkan. Saya sangat berminat untuk melanjutkan pengajian di sini dan berharap ia bakal menjadi kenyataan.

“Perkongsian ilmu dan maklumat banyak membantu dan kami juga tidak segan silu bertanyakan soalan. Terima kasih kerana memberi peluang ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...