Tuesday 13 December 2011

196 dipindahkan akibat ombak besar, air pasang di Kuala Besut



BESUT: Seramai 196 orang daripada 41 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap, dekat Kuala Besut, di sini, terpaksa berpindah apabila rumah mereka ditenggelami air laut pasang besar serta dipukul ombak setinggi empat meter malam tadi.

Mereka yang terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa dan 44 kanak-kanak lelaki serta 30 kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di Balai Raya Pengkalan Atap yang letaknya kira-kira 500 meter dari kawasan terbabit sejak jam 9 malam tadi.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, berkata kesemua mangsa kini selamat dan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibekalkan selimut dan makanan.
Katanya, air pasang mula berlaku kira-kira jam 8 malam lagi dengan diikuti ombak setinggi antara tiga hingga empat meter menyebabkan kesemua rumah penduduk yang terletak kira-kira 400 meter dari pinggir laut itu mula dimasuki air.

"Keadaan bertambah cemas apabila benteng tanah yang dibina bagi mengelakkan ombak berhampiran perumahan di situ roboh di dua tempat menyebabkan air laut masuk," katanya yang turut melawat tempat kejadian malam tadi dan pagi ini.

Tinjauan ke kampung berkenaan pagi ini mendapati hampir kesemua rumah kosong ditinggalkan penghuninya ke tempat perpindahan.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa penduduk yang datang semula pagi ini bagi membersih rumah masing-masing selepas air mulai surut.
Salah seorang penduduk, Mak Ya@Saunah Ali, 61, berkata beliau dan keluarga mula berpindah jam 2 pagi apabila mendapati paras air laut yang memasuki rumahnya semakin tinggi.

Katanya, keadaan itu jarang-jarang berlaku dan dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke balai raya kerana bimbangkan keselamatan keluarga. - BERNAMA

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...