Wednesday 14 December 2011

Keluarga warga emas terselamat rumah roboh akibat tanah runtuh


KUANTAN: Sebuah keluarga nyaris maut apabila sebahagian besar rumah mereka di Kampung Sungai Charu di Jalan Sungai Lembing di sini roboh akibat runtuhan tanah, hari ini.

    Dalam kejadian 10 pagi itu, dua bilik tidur dan tandas rumah berkenaan yang terletak di kawasan lereng bukit runtuh selepas berlaku pergerakan tanah di tapak rumah.


    Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, yang melawat keluarga terbabit, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada laluan air bawah tanah.
"Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian berkenaan. Jumlah kerugian dianggarkan RM20,000," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Ketika kejadian, rumah berkenaan didiami Wan Mah Wan Ali, 70, anaknya Mohd Shafie Adam, 30, dan dua cucunya, Taufik Mohd Shafie, 11, dan Nor Shafikah Hafizah Mohd Shafie, 9.

Abdul Manan berkata, keluarga berkenaan kini ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Pancing.

   Wan Mah ketika ditemui berkata, cucunya, Taufik yang sedang bermain di luar rumah memberitahunya berkenaan hakisan di kawasan rumah mereka.
"Saya keluar untuk melihat dan terkejut apabila secara tiba-tiba tandas dan dua bilik tidur rumah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya hanya mampu melihat sebahagian rumah kami ranap sekelip mata," katanya.

Beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...