Friday 13 January 2012

Hujan di Empat Negeri Berterusan Sehingga Esok


KUALA LUMPUR:

     Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan berterusan sehingga esok.

     Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini, hari ini.


     Antara daerah yang terlibat di Kelantan ialah Kota Baharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

    Di Pahang pula, daerah yang terbabit ialah Kuantan, Maran, Pekan, Rompin, Temerloh, Jerantut, Lipis, Bera, Bentong, Raub dan Cameron Highlands manakala di Johor membabitkan daerah Mersing dan Segamat.

    Jabatan itu turut meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang bermula esok hingga Sabtu ini.

    Antara daerah yang terlibat di Perlis ialah Kangar, Padang Besar dan Arau; di Kedah, daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi.

    Manakala di Perak pula membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta; dan Pulau Pinang membabitkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.

    Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencapai 5.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-Layang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

    Menurut jabatan itu, kawasan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

    Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

     Angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencapai 4.5 meter di perairan Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Palawan dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...