Friday 13 January 2012

409 Mangsa Banjir di Kuantan, Pekan dipindahkan...

KUANTAN:

   Sejumlah 409 orang daripada 113 keluarga di daerah Kuantan dan Pekan dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air. 

   Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, daerah Pekan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 246 orang daripada 65 keluarga dari Kampung Cenderawasih Sungai Miang dan mereka ditempatkan di Sekolah Sinar Mutiara, Pekan.

   "Selebihnya membabitkan lima penempatan di daerah Kuantan iaitu di Batu 6 Jalan Gambang, Kampung Cendering, Kampung Seri Damai, Kampung Jaya Gading dan Kampung Paya Pancing," katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, kesemua 163 orang daripada 48 keluarga yang terjejas akibat banjir itu ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Panching, Dewan Orang Ramai Seri Damai dan Sekolah Menengah Pandan. 

    Sementara itu, dua jalan utama iaitu KM30 dan KM36 Jalan Kuantan-Sungai Lembing serta Jambatan Kampung Sungai Kolek, Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan selepas digenangi air setinggi 1 meter.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...